Sebagai persediaan menjadi tuan rumah kesembilan Kempen Kesedaran & Penjagaan Alam Sekitar, para belia Kg. Tampasak bertungkus-lumus untuk membersihkan kawasan kampung. Ini termasuklah memotong rumput di bahu jalan utama ke Fasa 1 dan Fasa 2, jalan masuk ke kawasan padang, kawasan padang dan sekeliling bangunan DANIDA yang dijadikan tempat berkumpul semasa kempen berlangsung.
Selain itu juga, keadaan cuaca yang sering hujan lebat di sebelah petang memaksa belia-belia meredah hujan dalam membina saliran serta membersihkan parit-parit utama. Sebenarnya, hujan lebat ini dapat juga membantu mengalirkan air deras sekaligus memudahkan kerja-kerja pembersihan dijalankan dengan lancar.
Para belia juga membersihkan kawasan bangunan DANIDA yang sebelum ini dijadikan tadika dan pra-sekolah. Namun selepas 6 bulan dibiarkan begitu sahaja, lumpur mula memenuhi kawasan pentas dan menghalang pengaliran air ke parit-parit utama. Kerja-kerja pembersihan ini mengambil masa 3 hari memandangkan semua belia sibuk di sebelah pagi maka kerja-kerja pembersihan hanya dapat dilakukan pada sebelah petang dan ditambah sukar dengan cuaca yang memburukkan lagi keadaan.Namun begitu, semua kerja-kerja pembersihan dapat juga disempurnakan dengan baik dan lancar. Untuk persiapan hiasan pentas dan kemudahan untuk kempen seperti bangku, meja, tandas, system perpaipan dan PA system hanya dapat dilakukan 24jam sebelum kempen bermula.
Dari awal persediaan dilakukan, hanya belia dari kaum lelaki yang datang bertungkus-lumus dalam menjayakan persediaan untuk kempen. Suatu situasi yang jarang dapat dilihat di kalangan belia. Tidak kelihatan kaum wanita sepanjang persediaan ini. Walau apa pun yang berlaku, syabas dan terima kasih kepada belia-belia yang bertungkus-lumus dalam persediaan ini..
No comments:
Post a Comment